Tiga feri beroperasi di Pangkalan Feri Sebuyau-Triso


SEBUYAU: Sarawak meluluskan tiga buah perkhidmatan feri beroperasi serentak bagi menampung jumlah kenderaan yang mencecah hampir 400,000 setahun di Pangkalan Feri Sebuyau-Triso.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, operasi perkhidmatan feri di pangkalan itu bermula pada April 2013 dengan sebuah feri berkapasiti 32 kenderaan yang kemudian ditambah lagi sebuah pada Januari 2017.

Manakala sebuah lagi feri yang turut mempunyai kapasiti 32 kenderaan, katanya, telah memulakan operasi pada 14 April lalu dan ini menjadikan jumlah keseluruhan tiga feri beroperasi di Pengkalan Feri Sebuyau-Triso.

Beliau berkata, pada awal perkhidmatan feri itu sekitar tahun 2014-2016, jalan pesisir dianggap sebagai laluan alternatif kepada laluan Pan Borneo.

“Stastitik tahunan kenderaan menggunakan  feri Sebuyau-Triso sebanyak 138,111 buah kenderaan pada tahun 2014, meningkat kepada 168,113 (2015), melonjak ke 301,342 (2016), 387,261 (2017) dan 372,119 buah kenderaan pada 2018.

“Perkhidmatan Feri Sebuyau-Triso dilihat semakin sibuk selepas Jambatan Batang Sadong di Kampung Sungai Buloh beroperasi Disember 2016 dan diikuti Jambatan Samarahan pada Julai 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Taklimat Keselamatan Feri Bersama Komuniti Setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau di sini, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Safri Zainudin.

Julaihi menambah, statistik bulanan suku keempat 2018 mencatat sejumlah 31,331 kenderaan pada Oktober 2018, meningkat kepada 33,427 pada November 2018 dan seterusnya sejumlah 43,933 kenderaan dicatat pada Disember 2018 menggunakan perkhidmatan feri ini.

“Jalan pesisir sudah menjadi laluan pilihan pengguna jalan raya dan perkhidmatan feri di sepanjang jalan pesisir yang kini menjadi nadi kepada jaringan jalan pesisir sebelum jambatan dibina,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu memberitahu, pertambahan operasi feri ketiga berkenaan mampu mengurangkan masa menunggu pada waktu puncak daripada empat jam setengah kebiasaannya kepada dua jam.

“Oleh itu, saya pasti penduduk di kawasan Sebuyau, Maludam dan kawasan sekitar boleh menarik nafas lega kerana pertambahan feri ketiga ini memberi manfaat sangat besar kepada rakyat setempat dan juga pengguna jalan pesisir secara amnya,” tambahnya.

Menurutnya, setiap kenderaan hanya dikenakan bayaran minumum RM1, manakala keseluruhan kos operasi perkhidmatan feri seluruh negeri ini dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

“Sarawak membelanjakan lebih RM51 juta untuk bayaran kos operasi perkhidmatan feri seluruh negeri ini pada 2018, manakala RM48 juta pada 2017,” ujarnya.

Dalam pada itu, Julaihi turut meluangkan masa melakukan lawatan tapak ke Pengkalan Feri Sebuyau- Triso untuk menyaksikan feri ketiga beroperasi. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas