Hospital pengajar Unimas dijangka mula dibina suku pertama 2020
KOTA SAMARAHAN: Projek Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dijangka bermula pada suku pertama 2020 nanti.
Perkara itu didedahkan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UNIMAS dengan Universiti Beijing Wuzi di Rumah Universiti di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, projek itu kini dalam proses penyiapan dokumen tender yang dijangka siap pada hujung tahun ini sebelum ia ditender pada tahun hadapan.
"Projek pembinaan hospital pengajar ini telah diluluskan dalam Roling Plan ke-4 Rancangan Malaysia Ke-11 dan dijangka dibina pada suku pertama 2020 nanti.
"Hospital pengajar ini mempunyai 300 katil termasuk pusat jagaan harian dan asas yang dianggarkan menelan kos RM560 juta dan dijangka siap tiga atau empat tahun," katanya.
Mengenai MoU itu, Kadim berkata, Universiti Beijing Wuzi merupakan universiti terbaik dalam bidang logistik dan penghantaran di China yang mana UNIMAS mahu memperkasakan bidang tersebut di sini.
"Logistik perkara yang penting dalam industri oleh kerana barang yang dibuat harus dihantar dan ini memerlukan sistem logistik yang baik dan Universiti Beijing Wuzi adalah universiti terbaik dalam bidang ini.
"Jadi kita mengambil peluang untuk kita membina kekuatan dalam bidang tersebut," katanya lagi.
Selain itu, tambahnya, Universiti Beijing Wuzi juga mempunyai kekuatan dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang mana UNIMAS juga mempunyai kemudahan IT yang boleh dimanfaatkan.
"Justeru, kita berharap dengan kerjasama yang dijalinkan ini dapat memberi faedah kepada kedua-dua pihak," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MoU itu juga membolehkan kedua-dua universiti mengadakan pertukaran pelajar bagi memberi tambah nilai kepada pelajar masing-masing.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Naib Canselor UNIMAS (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim.
MoU itu ditandatangani Kadim dan Timbalan Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hatta mewakili UNIMAS manakala Universiti Beijing Wuzi diwakili Naib Presidennya Profesor He Mingke dan Naib Dekan Sekolah Ekonomi Universiti Beijing Wuzi Profesor Yuan Ling Ling. - UB
Comments
Post a Comment