Kaum lain tidak boleh guna Hari Gawai pecah belah Dayak


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata kaum lain tidak boleh mengguna dan menukar sambutan sambutan Hari Gawai menjadi aktiviti serta gimik politik untuk memecahbelahkan Dayak.

Beliau berkata, sambutan perayaan kebudayaan itu harus digunakan sebagai perayaan kebudayaan yang dirai dan dinikmati semua rakyat Malaysia.

“Kaum lain di Malaysia sangat dialu-alukan menyertai kaum Dayak menyambut Hari Gawai, tetapi mereka tidak boleh mempergunakan perayaan ini dan menukarkannya menjadi aktiviti serta gimik politik untuk memecahbelahkan Dayak,” katanya dalam perutusannya sempena Hari Gawai 2019.

Masing berkata, Dayak terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Iban, Bidayuh dan Orang Ulu tetapi malangnya dalam kalangan kumpulan ini, tidak ada faktor umum yang dapat mengenalpastikan Dayak sebagai unit tunggal seperti Melayu di Sarawak.

Beliau berkata, Melayu di Sarawak mempunyai satu faktor umum yang kuat menyatukan mereka iaitu agama, selain karektor berdisiplin dan perpaduan.

Malangnya kata Masing, agama bukan faktor menyatukan komuniti Dayak tambahan kaum itu tidak mempunyai objektif sosial sama yang boleh menyatukan mereka sebagai satu entiti sosial.

Politik yang dikatakan boleh menjadi ‘tempat’ menyatukan Dayak sebaliknya telah memecahbelahkan lagi kaum itu, ujarnya.

Bagaimanapun tegasnya, dalam sambutan Gawai, komuniti Dayak mempunyai satu aktiviti sama yang dikongsi semua orang, disambut dan diraikan sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Kerajaan Sarawak mengiktiraf perayaan kebudayaan kita sejak 1960-an. Kita adalah penjaga kepada sambutan Gawai ini.

“Oleh itu, kita mesti jangan-jangan sekali membenarkan kaum lain menggunakan perayaan budaya yang mulia ini untuk memecahbelahkan kita, Dayak,” katanya.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, Dayak tidak boleh membenarkan diri mereka digunakan secara politik oleh kaum lain.

Beliau menambah, penjaga kepada Gawai Dayak Negeri ialah tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak iaitu Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA).

Menurutnya, ketiga-tiga NGO tersebut sejak Gawai Dayak diiktiraf pada 1960-an oleh kerajaan Sarawak sebagai perayaan kebudayaan Dayak, diberi penghormatan menganjurkan sambutan Gawai peringkat negeri setiap tahun.

“Gawai Dayak milik komuniti Dayak. Ia milik kita! Oleh itu, ia perlu kita pelihara. Kita mesti memelihara. Kita perlu menganjurkannya.Marilah kita menjadikan Gawai Dayak ‘simpul’ yang mengikat, dan menyatu teguh semua komuniti Dayak menjadi satu!

“Selamat Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang, Nguan Menoa,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas