RM9 juta ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris


KUCHING: Sarawak memerlukan kira-kira RM9 juta untuk melatih guru dan menyediakan bahan pengajaran termasuk buku teks bagi tahun pertama pelaksanaan program mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, bermula 1 Januari 2020, Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris tetapi hanya melibatkan murid tahun satu.

Beliau berkata program berkenaan akan dilaksanakan di 1,046 sekolah rendah di seluruh negeri ini.

Beliau berkata pengajaran kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris atau Program Dwibahasa (DLP) itu hanya satu program, bukan dasar pendidikan seperti yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

Menurutnya sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan dasar dikenali Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 namun dimansuhkan pada 2012.

“Ini adalah idea Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) pada 24 April lalu, menawarkan kepada Sarawak agar mendahului usaha pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Ketua Menteri bersetuju menerima tawaran dan cabaran itu dan kita tidak akan membuat pusingan ‘U’. Kita akan melaksanakannya tahun depan bermula dengan tahun satu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitukmakmur di sini, semalam sambil menambah, kerajaan negeri sedia membantu dari segi kewangan dan kepakaran untuk memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Manyin berkata ketika ini terdapat 1,265 sekolah rendah di seluruh Sarawak dan program berkenaan tidak akan dilaksanakan di 219 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana sekolah-sekolah berkenaan sudahpun menggunakan sistem sekolah dua aliran iaitu bahasa Melayu (BM) dan bahasa Cina.

Tambahnya, buat masa ini sekolah-sekolah Cina di negeri ini memilih untuk tidak melaksanakan program berkenaan kerana mahu terus menggunakan mandarin sebagai medium untuk mengajar.

Beliau turut berkata, pada tahun depan seramai 2,657 guru akan dilatih dan daripada jumlah tersebut 1,005 mengajar Sains, 1,275 Matematik dan 377 lagi mengajar kedua-dua subjek berkenaan menggunakan bahasa Inggeris.

“Maknanya dari tahun satu hingga tahun enam, atau dalam tempoh enam tahun kita perlu melatih 7,508 guru iaitu 2,823 mengajar Sains), 3,978 guru Matematik dan mengajar kedua-dua subjek seramai 707.

“Jumlah ini mungkin kurang kerana ada antara guru-guru ini sudah dilatih,” ujarnya.


Beliau menambah, apabila program itu dilaksanakan, tempoh pengajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik seminggu ialah tujuh jam 30 minit iaitu tiga jam masing-masing untuk BI dan Matematik dan satu jam 30 minit bagi subjek Sains.

Bagaimanapun ujarnya, pelajar akan diberi pilihan sama ada menjawab soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Menjelas lanjut, Manyin berkata program pengajaran kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris sama seperti modul DLP diperkenalkan sebelum ini tetapi diubah suai mengikut kesesuaian dan keperluan Sarawak.

Pelaksanaan DLP sebelum ini ujarnya, menetapkan banyak syarat antaranya sekolah mesti mengekalkan dan menjamin pencapaian BM, mendapat persetujuan guru dan mendapat persetujuan ibu bapa.

“Ini adalah DLP sebelum ini yang diubah suai, maknanya DLP Sarawak. Kita tidak perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan, ia akan dilaksanakan di 1,046 sekolah rendah di seluruh Sarawak asalkan mendapat persetujuan ibu bapa.

“Jika ibu bapa tidak bersetuju, maka program ini tidak dapat dilaksanakan di sekolah terbabit. Kita perlu mendapat persetujuan ibu bapa,” jelasnya.

Beliau berkata KPM masih menyiapkan modul pembelajaran dan pengajaran di bawah DLP Sarawak yang dijangka siap pada Ogos tahun ini.

Bagaimanapun beliau percaya rata-rata ibu bapa di negeri ini akan mengalu-alukan pelaksanaan program ini kerana idea tersebut bertujuan memastikan setiap pelajar dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan di peringkat global pada masa akan datang.

Menurutnya, pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik akan berdepan masalah apabila mereka melanjutkan pengajian di peringkat universiti memandangkan 90 peratus daripada buku rujukan adalah dalam bahasa Inggeris.

“Kita juga akan mengadakan pertemuan dengan dua kesatuan guru di Sarawak (Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak dan Kesatuan Guru Sarawak) termasuk persatuan guru besar dan persatuan pengetua (Sarawak) untuk membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci,” katanya.

Selain itu katanya, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) akan mengadakan dialog dan jerayawara memperjelaskan program ini di seluruh negeri khususnya kawasan yang masih ramai ibu bapa belum jelas mengenainya.

Beliau berkata dialog dan jerayawara itu akan diadakan sebaik selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datu William Patrick Nyigor, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Abdul Rahman Deen, Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Omar Mahli dan Ketua Sektor Akademik JPNS Dr Les Met. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas