Sarawak adalah negeri kita, perlu ditadbir semua kaum demi kesejahteraan bersama
KUCHING: Penyertaan semua kaum dalam membangunkan Sarawak amatlah diperlukan dalam memastikan pembangunan negeri ini dapat dinikmati bersama.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak adalah negeri kita dan perlu ditadbir dan dibangunkan secara bersama dengan melibatkan penyertaan semua kaum.
“Di kawasan pedalaman misalnya, penduduknya yang terdiri daripada masyarakat Dayak masih memerlukan jalan, jambatan, air bersih dan elektrik 24 jam dan internet.
“Kita juga mempunyai gabungan politik dan gagasan yang berbeza tentang sesuatu perkara, tetapi kita perlu bersatu atas nama orang Sarawak demi kebaikan bumi Kenyalang ini.
“Justeru, masyarakat Dayak dan kaum-kaum lain pada hari ini perlu mengambil bahagian secara bersama dalam membangunkan ekonomi Sarawak.,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan bersempena perayaan Gawai di sini, hari ini.
Menurut Datuk Patinggi Johari lagi, Kerajaan Sarawak juga nekad untuk memastikan kawasan luar bandar di Sarawak akan dilengkapi dengan kemudahan dan pembangunan ekonomi menjelang 2030.
“Kami (Kerajaan Sarawak) kini mempunyai lebih banyak wang selepas pengenalan cukai 5 peratus ke atas produk minyak dan gas yang dieksport. Hasilnya akan disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk kemudahan dan infrastruktur.
“Untuk itu, marilah kita bersatu untuk memastikan kita dapat menyediakan semua keperluan ini kepada rakyat dan menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Marilah kita mempercayai rakyat Sarawak sendiri berbanding orang lain. Ini kerana orang lain yang datang dan pergi tanpa memperdulikan nasib kita. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan, tetapi akhirnya rakyat Sarawak akan ditinggalkan dan terpaksa menanggung sendiri,” tambahnya.
Dalam usaha menjadikan ekonomi dan pertanian di Sarawak berdaya maju, beliau juga menggesa masyarakat Dayak yang terkenal dengan kerja keras berperanan menjadikan sektor ini berdaya maju.
“Sektor pertanian perlu berubah dan menjalani transformasi supaya dapat meningkatkan status ekonomi masyarakat Dayak secara keseluruhan.
“Untuk itu, saya berharap masyarakat Dayak terus aktif dalam bidang perdagangan dan industri dengan penglibatan ke arah pertanian moden melalui penerapan teknologi baru dan platform pemasaran digital.
“Saya percaya masyarakat Dayak khususnya petani boleh membuatnya dengan baik dengan mengkomersialkan pertanian mereka dengan sokongan strategi hubungan dan pemasaran yang baik.
“Melihat ramai masyarakat Dayak yang berjaya dalam pertanian seperti kelapa sawit dan lada, tiada sebab untuk saya melihat mereka dapat melakukan yang terbaik dalam pertanian ini,” katanya. - SV
Comments
Post a Comment