Inovasi lonjak industri sawit


MIRI: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat Sarawak Plantation Berhad (SPB) di sini untuk membangunkan mesin penuai bagi mencantas buah kelapa sawit matang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau amat gembira dengan inovasi yang dihasilkan kejuruteraan tempatan dan China itu.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, meskipun mesin penuai itu masih merupakan prototaip, namun kerajaan negeri melalui kementeriannya akan memperhalusi rekaannya untuk dibangunkan dan dipasarkan bagi memudahkan proses menuai buah kelapa sawit.

Uggah berkata, dengan adanya mesin itu kelak yang dinamakan ‘H Harvesting Cutter’ oleh SPB, ia diharap dapat membantu menyelesaikan masalah terbesar dan paling lama dalam industri tersebut iaitu mendapatkan pekerja yang cukup untuk melakukan kerja-kerja penuaian.

“Ini adalah ciptaan yang sangat menarik, sesuatu yang akan memainkan peranan utama menukar corak kerja (menuai buah kelapa sawit) untuk industri ini bukan sahaja di Sarawak, tetapi saya percaya seluruh industri perladangan kelapa sawit ini sendiri,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika turun padang untuk melihat sendiri mesin terbabit berfungsi selepas tertarik dengan inovasi SPB yang menjadi bualan hangat itu.

Uggah berkata, kementeriannya pernah membangunkan pencantas bermotor sebelum ini, tetapi ia tidak secanggih mesin penuai itu.

“Oleh sebab itu, apabila mendengar berita gembira ini, saya datang sendiri untuk melihatnya dan kerajaan negeri bersetuju bekerjasama rapat dengan SPB untuk memperhalusi penuai prototaip ini dan membangunkannya untuk pasaran.

“Sehubungan itu juga saya ingin mengucapkan tahniah kepada SPB dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Amar Hamed Sepawi atas kreativiti dan kepintarannya,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Hamed berkata mesin itu mampu menuai sehingga lima tan buah sawit sehari bagi setiap pekerja yang menggunakannya.

“Secara manual seorang pekerja hanya dapat menuai 1.5 tan sehari. Kami, kini cuba untuk meningkatkan lagi kemampuan mesin ini dengan menambah kepada keupayaan menuai sehingga tujuh tan oleh setiap pekerja dalam sehari,” katanya.

Beliau menambah, tujuan utama mereka mencipta mesin tersebut ialah menggantikan atau mengatasi masalah keperluan tenaga kerja yang ramai untuk menuai secara beransur-ansur.

Hamed berkata juruteranya telah mengambil masa selama tiga tahun untuk membangunkan prototaip itu, sebelum ia diuji untuk digunakan oleh pekerja-pekerja SBP di ladang syarikat itu di Ladang Tiga, Bekenu dekat sini.

“Kami kini menjadikannya lebih mantap dan menambah kesan robotik kepada komponen mekanikal dan hidrauliknya,” tambah beliau. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu