Kerajaan GPS tumpu tiga elemen penting dalam pengurusan ekonomi Sarawak


KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi penekanan dan pertimbangan khusus kepada tiga elemen penting dalam pengurusan ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata tiga elemen penting itu ialah simpanan, pelaburan dan penggunaan.

“Apabila mengurus ekonomi kamu mesti pertama memantau simpanan (kamu), kedua pelaburan yang dibuat mestilah strategik untuk mendapatkan pulangan jangka panjang dan ketiga ialah penggunaan.

“Kerajaan saya, kerajaan GPS mengambil kira dan memberi fokus kepada tiga elemen ini dalam pengurusan ekonomi negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pejabat PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang ketujuh di Wisma STA dekat sini, semalam.

Abang Johari berkata  Sarawak tidak akan membelanjakan wang khasnya bagi tujuan pembangunan tanpa mengetahui sumber pendapatannya dan pada masa sama melindungi simpanannya.

“Pemimpin Sarawak tahu mengenai perkara ini dan saya memberi jaminan, Sarawak tidak akan muflis dalam tempoh tiga tahun (dari sekarang),” tegasnya.

Abang Johari berkata tiada salah untuk berpolitik tetapi sebagai ahli politik yang profesional, apa yang dilakukan perlu berdasarkan fakta bukan emosi.

“Saya perlu memberitahu perkara ini kerana ada pihak yang tidak faham...tidak semua perlu dipolitikkan, ada batasnya. Kamu mesti melakukan apa yang sepatutnya untuk rakyat.

“Kerajaan saya melakukan itu, bukannya terlalu banyak berpolitik tetapi kami mahu meningkatkan taraf hidup, pada masa sama memperkukuhkan pendapatan negeri,” katanya.

Menjelas lanjut Abang Johari berkata pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri.

“Pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah pelaburan yang memberi pulangan jangka panjang kerana ia menyediakan jalan penghubung, logistik dan meningkatkan penggunaan.

“Ini kerana rakyat perlukan semua ini. Sudah tentu sektor swasta akan memperluaskan operasinya kerana infrastruktur sudah disediakan,” katanya.

Menurutnya, Sarawak membelanjakan kira-kira RM5 bilion untuk mempercepatkan pembekalan tenaga elektrik dan air bersih ke seluruh negeri khususnya di luar bandar bagi tempoh dua tahun bermula tahun ini.

Sarawak katanya, mempunyai sumber kewangan yang dibelanjakan untuk tujuan pembangunan dan salah satu daripadanya ialah cukai jualan 5 peratus produk minyak dan gas.

“Kita tahu dari mana sumber kewangan yang dibelanjakan kerana berbelanja tanpa mengetahui sumber kewangan adalah suatu yang berbahaya.

“Saya telah menerokai cara mencari pendapatan Sarawak menerusi haknya yang sah (dalam perlembagaan) dan hasil ini bertujuan membiayai semua program pembangunan, pada masa sama melindungi simpanan yang ada,” katanya.

Beliau menegaskan itu adalah kriteria utama diberi penekanan oleh Kerajaan Sarawak dalam menguruskan ekonominya dan pemimpin negeri ini sedia maklum mengenai perkara itu. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu