Wanita takut dimarahi suami buat laporan palsu dirompak


SIBU: Tindakan membuat laporan polis palsu mengundang padah kepada seorang wanita yang mendakwa dirinya dirompak namun insiden sebenar adalah sebaliknya.

Timbalan Ketua Polis Sibu Superintenden Martin Koo berkata, wanita berusia 34 tahun itu mendakwa dia dirompak dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal di tepi jalan berhampiran simpang lampu isyarat keluar dari Sibu Jaya malam kelmarin.

“Wanita itu juga mendakwa dirinya mengalami cedera pada siku kanan dan kiri kerana terjatuh ketika mengejar suspek dan mengalami kerugian wang tunai RM5,100, namun ia adalah rekaan semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, hasil soal siasat mendapati wanita tersebut telah mengaku membuat laporan palsu kerana takut dimarahi suaminya setelah mengeluarkan sebanyak RM5,100 duit gaji suaminya.

Malah katanya, wanita itu sanggup mencederakan dirinya sendiri dengan menggosokkan kedua-dua sikunya pada besi pembahagi jalan sebagai tujuan untuk memperkukuhkan laporan polisnya.

Wanita itu kemudian memberitahu dia telah diperdayakan seorang rakan perempuan bernama ‘Jenny’ yang berasal dari Kapit.

Rakannya (Jenny) telah meyakinkannya untuk memasukkan sejumlah RM4,500 ke dalam akaun bank milik sebuah syarikat pemberi pinjaman untuk mendapat pinjaman sebanyak RM20,000.

“Wang tersebut dikatakan sebagai pembayaran untuk proses membuka akaun pinjaman itu.

“Namun dia hanya tersedar dirinya telah ditipu apabila rakannya gagal dihubungi dan menghilangkan diri,” jelas Martin.

Katanya lanjut, wanita tersebut cuba mereka cerita bahawa dirinya telah dirompak untuk mengelakkan suaminya mengetahui kejadian sebenar.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berkaitan kes rompak,” tambah beliau. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu