Keluarga Penan tak mampu bawa mayat pulang kampung terima bantuan



MIRI: Kesusahan seorang wanita Penan untuk membawa mayat mendiang suaminya pulang ke kampung di Ba Kawi, Ulu Baram mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di sini.

Pari Lawai, 69, meninggal dunia di Hospital Miri pada pukul 1 pagi hari ini selepas mengalami penyakit jantung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata beliau menerima panggilan dari keluarga mendiang awal pagi memohon bantuan keranda dan kos pengangkutan membawa mayat pulang ke kampung.

Menurut Dennis, dengan jarak Ba Kawi yang terletak kira-kira enam jam perjalanan dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kos pengangkutan dan keranda untuk membawa mayat amat mahal dianggarkan mencecah RM5,000.

"Selepas mendapat tahu berita itu, saya terus menghubungi rakan-rakan di Miri termasuk sahabat berbangsa Cina untuk membantu apa yang patut termasuk menyediakan keranda, pengangkutan dan duit perbelanjaan lain."

"Saya tahu ramai kaum Penan yang dalam kesusahan begini tidak mempunyai ahli keluarga dan tempat tinggal di Miri. Justeru, saya amat lega kerana mereka tampil mendapatkan pertolongan," kata Dennis selepas bertemu dengan keluarga mendiang di kedai keranda di sini hari ini.

Keranda tersebut ditaja oleh rakan-rakan Dennis manakala beliau membiayai kos pengangkutan ke Ba Kawi.

Menurut Dennis, Ba Kawi merupakan salah satu penempatan Penan yang sering beliau kunjungi sejak 2011.

Beliau menambah, melalui hubungan baik sedia ada dengan komuniti di Miri, mereka dapat mengurus keperluan keluarga dari kawasan Baram yang sangat memerlukan sokongan dalam keadaan mendesak seperti ini.

Dennis turut berterima kasih kepada rakan-rakan dan semua pihak yang bermurah hati memberikan bantuan.

Sementara itu balu kepada Pari, Doy dan anak lelakinya, Henry yang cacat penglihatan, memberitahu mereka amat tersentuh hati dengan usaha dan kesungguhan Dennis membantu mereka sekeluarga.

"Saya pada mulanya amat buntu memikirkan bagaimana untuk membawa mayat mendiang  pulang ke kampung kerana kosnya amat mahal.

"Justeru, saya amat berterima kasih kepada Dennis dan pemilik kedai keranda kerana memberikan bantuan," katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Is Project 1408 the 2017 Ducati 1299 Superleggera?