Husni tiada rancangan ‘betul’ dapatkan dana dibeku di Switzerland, kata Najib

 
KUALA LUMPUR: Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas anggota Kabinetnya, Ahmad Husni Hanadzlah tidak mempunyai perancangan “betul” untuk membawa balik dana SRC International yang dibekukan kerajaan Switzerland pada 2013 atas dakwaan pengubahan wang haram.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu, Najib berkata, Husni yang juga menteri kewangan kedua ketika itu, tidak mengemukakan permohonan rasmi kepadanya untuk membawa balik RM3.6 bilion dana SRC International itu.

“Ia akan lebih berkesan jika beliau mempunyai perancangan betul. Beliau patut buat satu perancangan yang betul,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram mengenai wang itu dan Husni.

Husni sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau menemui Najib untuk mendapatkan kebenarannya ke Switzerland bagi menyelesaikan isu pembekuan dana yang dipercayai daripada SRC International, tetapi Najib menolak permintaannya.

Sithambaram kemudian bertanya: “Jika kerajaan menghantar seorang wakil, tidak kira menteri kewangan atau menteri kewangan kedua, adakah ia lebih berkesan untuk mendapatkan kembali wang itu?”

Najib menjawab: “Itu boleh dibahaskan.”

Sithambaram yang mengetuai pendakwaan kes SRC International bertanya Najib, kenapa beliau tidak menunjukkan sebarang minat untuk mendapatkan semula dana awam itu?

Bekas perdana menteri itu menjawab, beliau tidak dimaklumkan mengenai keadaan syarikat itu oleh lembaga pengarah.

Sithambaran: Pada November 2015, Perbendaharaan mencadangkan geran RM100 juta sebagai pinjaman jangka pendek kepada SRC kerana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) cuba mendapatkan pengisytiharan gagal membuat pembayaran, adakah anda terkejut?

Najib: Saya agak terkejut masa itu.

Katanya, beliau meluluskan RM250 juta sebagai kredit pengganti kepada SRC International pada Julai 2016 serta RM300 juta pada Disember 2017 bagi mengelakkan KWAP memohon pengisytiharan gagal membuat pembayaran.

Sithambaram berkata, “amaran dibunyikan” apabila KWAP buat kali ke-2 cuba memohon pengisytiharan gagal membuat pembayaran dan bertanya jika Najib mengambil inisiatif sendiri untuk mendapatkan kembali RM3.6 bilion.

“Saya beri ruang kepada pengurusan (SRC International). Mereka beritahu kami, wang itu ada di sana,” kata Najib.

Sithambaram kemudian mencadangkan kepada Najib, tiada tindakan betul diambil untuk mendapatkan semula dana SRC International sehingga tamat tempoh jawatannya pada 9 Mei 2018.

Najib bersetuju dengan cadangan itu.

Perbicaraan bersambung 20 Jan ini di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaunnya.

Beliau turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari KWAP. - FMT

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu