Orang Ulu Masih Teguh Pertahan Amalan Tradisi

 
MIRI: Masyarakat Orang Ulu di Ulu Baram khususnya Kayan dan Kenyah masih teguh mempertahankan amalan tradisinya dalam melantik pemimpin dan ketua masyarakatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, masyarakat Kayan dan Kenyah amat berpegang kepada ‘adet’ (tradisi yang dipraktikkan) dalam pelantikan ketua kampung dan pemimpin atau ketua kaum.

“Apabila pelantikan ketua masyarakat atau ketua kampung, ada tradisi yang telah diamalkan di kalangan masyarakat Orang Ulu di pedalaman sejak dari dulu lagi.

“Ketua kampung atau ketua masyarakat mestilah daripada latar belakang masyarakat bangsawan atau dikenali oleh Orang Ulu sebagai keturunan ‘Hipun atau Maren Uma’,” jelasnya pada majlis penyerahan sijil pelantikan kepada ketua-ketua masyarakat di konstituensinya di Pejabat Daerah Telang Usan, baru-baru ini.

Malah kata Dennis, ketua masyarakat dan penduduk kampung bekerja rapat dengan pejabat kerajaan negeri dalam memilih calon terbaik untuk dilantik memegang jawatan terbabit.

“Bagi saya sendiri, menangani situasi dalam memilih calon terbaik untuk dilantik sebagai ketua masyarakat adalah proses yang agak sukar dan memakan masa.

“Oleh sebab itu, kita lebih suka melantik seseorang calon itu yang boleh diterima oleh kesemua penduduk kampung.

“Dengan itu, pemilihan berkenaan akan diterima baik oleh penduduk kampung dan menyokong mereka yang dipilih secara sah dan sebulat suara,” ujarnya.

Pada masa sama Dennis turut mengingatkan mereka yang ingin dipertimbang untuk menjadi ketua kampung atau masyarakat perlulah menunjukkan keupayaan dan kewibaan dan menyerahkan keputusan tersebut kepada pemimpin tertinggi dan kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta agensi berkaitan untuk melakukan proses seterusnya.

“Ini juga akan memastikan penduduk kampung terus menyokong ke arah institusi kampung dan mengekalkan relevannya pada zaman moden ini.

“Institusi kampung haruslah bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran GPS untuk kelancaran pelaksanaan agenda pembangunan di setiap peringkat kampung,” jelasnya.

Ujar Dennis, masyarakat Kayan di bahagian Miri bertuah kerana mempunyai ketua tertinggi iaitu Temenggung Elizabeth Deng yang telah melaksanakan tugasnya dengan baik dan berwibawa serta sentiasa turun padang untuk bersama masyarakat setempat.

Beliau mahu ketua-ketua kampung yang telah dilantik mencontohi semangat kepimpinan Elizabeth yang turut telah menganjurkan pelbagi program bagi manfaat masyarakat di Baram khasnya.

“Semangat kepimpinan sebegini yang kita mahukan.

“Saling bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan jawatankuasa penduduk yang lain yang telah ditubuhkan di setiap rumah panjang.

“Selain itu, anda (ketua masyarakat) turut perlu melakukan perancangan tahunan untuk kawasan di bawah bidang kuasa anda termasuk perancangan jangka panjang bagi memperbaiki ekonomi, kemudahan asas dan keperluan lain,” tegasnya.

Terdahulu Dennis menyerahkan sijil pelantikan kepada dua ketua kampung dan seorang ketua masyarakat.

Mereka ialah Penghulu Nawan Luhat untuk kawasan Apoh Tutoh, Ketua Kampung Kayan Long Lama Paul Paren Ibay dan Ketua Kampung Long Keliman @ Long Liam Keliman Usun Steward Ngau.

Ketiga-tiga mereka menerima pelantikan terbabit bagi tempoh empat tahun bermula 1 Disember tahun lalu.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Penghulu Ajeng Wan dan wakil-wakil dari Apoh Tutoh, Long Keliman @ Long Liam Keliman, Long Laput dan Kampung Kayan Long Lama. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu