Dunia belum lalui tahap terburuk COVID-19: WHO
GENEVA: Walaupun sudah enam bulan dunia dilanda wabak COVID-19, pandemik itu masih lagi mencapai kemuncaknya dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran bahawa tempoh paling buruk belum dilalui lagi.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata enam bulan lalu tiada siapa dapat bayangkan bagaimana dunia dan kehidupan jadi terumbang-ambing akibat virus baharu itu.
"Kita mahukan ia berakhir dan menjalani kehidupan seperti biasa, namun hakikatnya ia masih belum dapat ditamatkan, biarpun sesetengah negara dilihat bertambah baik, secara global pandemik ini masih lagi berleluasa.
"Kita semua bersama sepanjang tempoh ini dan perlu lebih banyak ketahanan, kesabaran, sifat kemanusiaan dan murah hati pada bulan mendatang.
"Kita sudah banyak kehilangan, tetapi jangan sampai hilang harapan," katanya dalam sidang video secara maya.
Tambah beliau, pandemik itu secara tidak langsung menunjukkan sikap kemanusiaan sebenar, kebaikan dan solidariti, tetapi ada juga maklumat yang salah serta virus politik.
"Bagaimanapun, saya terpaksa mengatakan bahawa keadaan yang paling teruk masih dilalui dan dalam keadaan sekarang, kita hanya takutkan sesuatu yang paling teruk saja," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan WHO akan menghantar pasukan ke China bagi mencari punca COVID-19 yang kini sudah meragut lebih 500,000 nyawa dan menjangkiti lebih 10 orang di seluruh dunia.
Kata Tedros, WHO sudah mendesak China sejak Mei lalu untuk menjemput mereka menyertai pasukan pakarnya bagi menyiasat punca utama COVID-19.
"Kita boleh melawan COVID-19 dengan lebih baik jika tahu mengenai virus ini termasuk bagaimana ia bermula. Kita hantar pasukan ke China dan berharap akan mendapat jawapan, memahami bagaimana ia terjadi.
"Virus ini dapat ditangani dengan apa yang ada di tangan kita, namun soalan paling kritikal ketika ini ialah bagaimana kita mahu hidup dengan virus ini dan menerimanya sebagai kebiasaan baharu," katanya. - AFP
Comments
Post a Comment