China Minta Kerjasama Antarabangsa Sertai Penyelidikan COVID-19

Gambar hiasan. - Foto AFP

BEIJING: China merancang menggarap kerjasama antarabangsa bagi menyertai projek penyelidikan berkaitan ubat-ubatan, vaksin, alat ujian, kit ujian, dan perubatan tradisional Cina (TCM) untuk memerangi COVID-19.

Isnin lalu, Kementerian Sains dan Teknologi China mengeluarkan garis panduan permohonan bagi mendapatkan sekitar 37 projek kerjasama antarabangsa anti COVID-19 yang menumpukan kepada empat orientasi.

Ia bertujuan memperkasa kerjasama penyelidikan dengan negara dilanda virus dan pertubuhan antarabangsa berkaitan menerusi kerjasama inovatif dalam bidang sains dan teknologi selain berkongsi data serta pengalaman memerangi wabak itu.

Projek yang dicari merangkumi pelbagai aspek ujian klinikal global vaksin dan ubat, kerjasama pembangunan teknologi ujian baharu, peralatan ujian pantas di lapangan serta penyelidikan antarabangsa berkait mekanisme TCM bagi rawatan COVID-19.

Menurut garis panduan itu, pembangunan vaksin yang sudah selesai menjalankan ujian klinikal Fasa 1 dan Fasa 2 akan diberikan keutamaan sokongan.

Setiap projek mesti membabitkan sekurang-kurangnya satu institusi penyelidikan atau syarikat asing.

Saintis asing yang bekerja di institusi di tanah besar China, selain saintis dari Hong Kong, Macau dan Taiwan juga boleh berkhidmat selaku ketua projek.

Kerajaan China akan menyediakan pembiayaan 100 juta yuan (RM61 juta) kepada calon projek yang berkelayakan, dengan tempoh pelaksanaan projek tidak melebihi dua tahun.

Institusi yang berminat boleh menghantar permohonan secara dalam talian kepada pihak kementerian bermula 8 Julai hingga 31 Ogos ini. - AGENSI

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu