Pendakian ke puncak Kinabalu dengan normal baharu
Penularan virus COVID-19 menjadi igauan ngeri penduduk dunia hinggakan ia mengubah kebiasaan kehidupan manusia kepada normal baharu serta memberi kesan kepada aktiviti harian rakyat dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.
Tatacara normal baharu yang berlandaskan prosedur pengendalian standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut terpakai bagi aktiviti rekreasi termasuk pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.
Setelah hampir dua bulan aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu ditutup sementara kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Taman Taman Sabah (TTS) telah membuka semula laluan pendakian pada 16 Mei lepas tetapi setiap pendaki perlu mematuhi SOP.
Peluang ini tidak dilepaskan sia-sia oleh media di Sabah termasuk penulis apabila menerima tawaran TTS bagi pembukaan semula pendakian untuk melihat pelaksanaan SOP ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter itu, baru-baru ini.
Rombongan media terdiri daripada wartawan agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro Awani diiringi oleh Penguasa substesen Panalaban Julaimin Kamin, malim gunung, anggota mencari dan menyelamat gunung (MOSAR), renjer TTS dan porter.
Pendakian kali ini bagi penulis amat berbeza selepas kali terakhir mendaki lima tahun lepas ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu yang terletak di Taman Kinabalu, Kundasang kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu.
Selain perlu mematuhi SOP, keadaan cuaca di Taman Kinabalu, yang juga kawasan Tapak Warisan Dunia, ketika itu cukup redup dan mendung menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa.
PENDAKIAN KE PANALABAN
Berdasarkan normal baharu itu hanya 100 pendaki dibenarkan dalam sehari (berbanding kira-kira 165 orang sebelum PKP) untuk mendaki dan setiap pendaki akan diperiksa suhu badan selain mencatat nama pada buku daftar di pintu masuk utama Taman Kinabalu sebelum dibenarkan berada di kawasan taman untuk urusan pendakian.
Menurut Julaimin, setiap pendaki termasuk malim gunung dan porter tidak terkecuali daripada SOP yang ditetapkan itu bagi memastikan keselamatan setiap pendaki terjamin.
Pertamanya, suhu badan pendaki perlu melepasi tahap yang ditetapkan, barulah dibenarkan untuk mendaftar masuk bagi urusan pendakian seperti bayaran insurans, malim gunung, penginapan dan porter.
Waktu pendaftaran pula bermula seawal 7.00 pagi-10.30 pagi sahaja sebelum bergerak ke Timpohon bagi memulakan pendakian ke Panalaban sejauh enam kilometer.
Tepat pukul 9.40 pagi, selepas menandatangani buku daftar masuk di pintu Timpohon, 88 pendaki termasuk media dibenar untuk meneruskan pendakian ke Panalaban yang berketinggian 3,272 meter dari aras laut.
Panalaban adalah tempat perhentian yang menempatkan beberapa asrama penginapan untuk pendaki bermalam sebelum meneruskan pendakian keesokan hari ke puncak Kinabalu.
SOP PENDAKIAN UNTUK SEMUA PENDAKI
Julaimin berkata, sepanjang pendakian ke Panalaban, pendaki akan melalui tujuh pondok perhentian iaitu pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Paka dan Waras.
Pemeriksaan suhu badan semua pendaki termasuk malim gunung dan porter akan dijalankan lagi di pondok Layang-Layang yang berada di ketinggian 2,702 meter dari aras laut.
"Jika suhu mereka lebih daripada 37.4 darjah selsius, individu itu akan dikuarantin di bilik yang telah disediakan di pondok Layang-Layang. Tetapi sejak aktiviti pendakian dibuka sehingga kini belum ada lagi yang dikuarantin," katanya yang telah berkhidmat dengan TTS sejak 2002.
Selepas itu, suhu pendaki diperiksa lagi di pondok Waras; di pintu masuk restoran dan penginapan Laban Rata; sebelum bertolak ke puncak Gunung Kinabalu dan selepas turun dari puncak Kinabalu.
Semasa berada di puncak Kinabalu pula, bagi mengelakkan kesesakan hanya empat orang sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa dan perlu bergilir untuk bergambar.
Proses sanitasi juga dibuat di setiap kawasan penginapan yang terdiri daripada beberapa buah antaranya rumah rehat Laban Rata, Pendant Hut, asrama Lemaing, asrama Mokodou dan Kinotoki.
Kedudukan katil di setiap bilik juga disusun dengan jarak yang ditetapkan selain penyediaan cecair pembasmi kuman di setiap pintu masuk bilik penginapan.
SOP DI RESTORAN LABAN RATA
Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan, operasi resort Sutera Santuary Lodges Freddi Jude Julani Alexius berkata, bagi penyediaan makanan di restoran Laban Rata, pendaki tidak dibenar untuk mengambil makanan sendiri seperti sebelum ini.
Bagi mematuhi SOP, pelayan di restoran akan membantu meletakkan makanan di pinggan pelanggan.
"Jumlah pendaki yang berada di restoran ini untuk menjamu selera juga dikurangkan kepada 30 orang berbanding 40 orang sebelum ini," katanya sambil menjelaskan tempoh 30 minit diberikan untuk setiap kumpulan berada di restoran itu.
Freddi Jude berkata, setiap pelayan mahupun tukang masak di restoran itu juga memakai pelitup separuh muka sebagai langkah keselamatan.
Bagi seorang pendaki, Kurong anak Beki, 39, berkata dengan penetapan SOP itu lebih memberi keyakinan kepada pendaki agar merasa lebih selamat.
Berasal dari Sri Aman, Sarawak, beliau yang juga seorang penjawat awam berkata, meskipun baru pertama kali mendaki, SOP itu penting dalam usaha membantu kerajaan membendung penularan COVID-19.
Selain berpeluang merasai pelaksanaan SOP pendakian, pengamal media seramai 10 orang itu juga berdepan dengan pengalaman mendaki dalam keadaan hujan dan meredah air terjun kecil yang deras mengalir di sepanjang laluan menuju ke Panalaban.
Bagi penulis, ia suatu pengalaman pertama mendaki dalam keadaan cuaca hujan lebat sepanjang empat kilometer ke Panalaban selain terpaksa memakai baju hujan berbanding pendakian sebelum ini cuacanya amat baik dan cerah.
Rintik-rintik hujan mula dirasai kira-kira 12 tengah hari itu telah melambatkan perjalanan pendakian yang dijadual tiba pukul 3.00 petang namun hanya tiba di Panalaban pada pukul 6.30 petang kerana laluan yang berbatu dan licin menyukarkan pendakian selain berdepan dengan suhu yang sejuk.
Baju hujan adalah antara keperluan yang perlu dibawa ketika mendaki selain sarung tangan, stokin, makanan ringan, minuman, ubat dan pakaian yang mudah kering selain ringan bagi memudahkan pergerakan.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian ketika mendaki ialah perubahan suhu dan ketinggian akan menyebabkan pendaki merasa pening, loya dan muntah berpunca daripada mabuk gunung (AMS)
“Jika pendaki merasa sesak nafas dan kesejukan yang melampau, mereka perlu maklumkan kepada malim gunung supaya bantuan segera dapat diberikan kepada mereka,” kata Julaimin. - Bernama
Comments
Post a Comment