Sarawak peruntuk RM40 juta ukur tanah NCR, kerajaan tidak rampas tanah rakyat


SEMATAN: Tuduhan sesetengah pihak mengatakan kerajaan merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) rakyat adalah tidak benar dan berunsur politik murahan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tuduhan itu tidak berasas sama sekali kerana kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR.

Katanya, tanah yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal bumiputera adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan di dalam daftar tanah.

Oleh itu, tiada lagi keraguan mengenai sempadan di antara komuniti kerana sempadan yang telah diukur, ditanda dan diplotkan di dalam pelan kadastra. Maklumat ini boleh diakses dan dirujuk di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei Bahagian atau secara atas talian melalui eMap dan LASIS Mobile Apps,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri di Kampung Pueh, Sematan, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II berkata, kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pengukuran tanah NCR pada tahun 2020, manakala RM7.5 juta pula diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan, pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 34,091 lot individu berjaya diukur melibatkan kawasan seluas 42,265 hektar atau 104,436 ekar telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Beliau menambah, kaedah terdahulu didapati kurang efisien kerana dalam tempoh lebih kurang 50 tahun sejak tahun 1960an sehingga 2010, hanya lebih kurang 260,000 hektar atau 642,460 ekar tanah NCR berjaya diselesaikan. 

Ini bermakna secara purata hanya seluas 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun, katanya.

“Oleh itu, kita memperkenalkan kaedah baharu Oktober 2010 yang dilaksanakan secara dua peringkat. Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai Rizab Komunal Bumiputera Pertanian. Peringkat kedua pula, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri akan dilaksanakan,” katanya.

Menurut Awang Tengah, kaedah  baharu ini lebih efisien sekaligus dapat memberi impak merangkumi semua kaum Bumiputera di seluruh Sarawak. 

Ini dibuktikan melalui pencapaian kerja ukur seluas lebih kurang 934,288 hektar atau 2.3 juta ekar berjaya diukur perimeternya melalui peringkat pertama.

Daripada jumlah itu, lebih kurang 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah diwartakan. Dengan kaedah baharu ini, tanah NCR dapat diukur secara puratanya seluas 103,809 hektar setahun, tambah beliau. - Jiwa Bakti

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu

Disimbah menantu dengan air panas