SPRM tahan setiausaha politik bekas menteri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek selenggaraan sistem keselamatan negara bernilai lebih RM56 juta.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 13 Julai ini, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sumber berkata, lelaki itu dikatakan melakukan kesalahan berkenaan di Kementerian Pertahanan ketika bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada menteri.
Bekas Setiausaha Politik yang berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.
Siasatan awal mendapati suspek dikatakan menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek sistem itu yang dikeluarkan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian pada sekitar Ogos 2019.
Mengikut sumber itu, penahanan itu membabitkan kes baharu dan tiada kena mengena dengan isu muflis dan pembayaran hutang yang disiasat suruhanjaya itu pada 2018.
Selain penahanan suspek, SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM. - BHOnline
Comments
Post a Comment